![]() |
Sambutan hari raya Aidilfitri tahun ini pastinya meninggalkan seribu
satu kenangan buat seluruh umat Islam di Malaysia. Setelah dua tahun tidak
dapat menyambutnya akibat sekatan pergerakan bagi membendung penularan
jangkitan panyakit COVID-19, tahun ini kemeriahannya begitu unik dan meriah
sekali.
Kanak-kanak adalah golongan yang paling gembira kerana dapat menyambut
hari raya bersama datuk dan nenek dikampung, berjumpa sepupu-sepupu, dan saudara-mara.
Pastinya raya kali ini anak-anak mendapat lebih banyak duit raya berbanding
tahun-tahun lalu. Oleh itu, ibu bapa memainkan peranan yang besar untuk
menguruskan duit raya yang diperolehi oleh anak-anak kita.
Beberapa panduan untuk ibu bapa mengurus duit raya anak-anak agar ianya
menjadi suatu yang berguna di kemudian hari. Pertama, ibu bapa perlu menetapkan
matlamat duit raya tersebut sama ada untuk simpanan biasa, simpanan pendidikan,
simpanan Tabung Haji atau pelaburan masa hadapan. Bagi ibu bapa yang memilih
simpanan biasa, duit tersebut boleh didepositkan ke akaun simpanan anak-anak di
bank-bank tempatan. Duit tersebut boleh dikeluarkan jika diperlukan untuk
kegunaan anak-anak atau keluarga di masa hadapan.
![]() |
Jika memilih simpanan pendidikan, ibu bapa boleh membuka akaun skim
Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) atau juga SSPN-i yang mengabungkan tabung
pendidikan dan takaful untuk anak-anak bagi persediaan kewangan memasuki
pendidikan tinggi. Skim simpanan pendidikan ini amat besar manfaatnya dan boleh
membantu ibu bapa mengurangkan bebanan perbelanjaan anak-anak ketika melangkah
ke menara gading. Selain itu, ibu bapa selaku pendeposit turut menerima manfaat
kesihatan dan pengecualian cukai simpanan bersih sehingga RM6,000 setahun.
Pilihan ketiga adalah dengan membuka dan mendepositkan duit raya
anak-anak ke simpanan Tabung Haji. Ini adalah satu permulaan dan amalan
penyimpanan baik yang ditunjukkan oleh ibu bapa kepada anak-anak agar mereka
turut menyimpan hasrat untuk ke Tanah Suci pada suatu hari nanti apabila
simpanan mereka telah cukup. Simpanan Tabung Haji juga merupakan suatu pelaburan
masa depan dengan dividen keuntungan tahunan sekitar 3% hingga 4%.
Bagi ibu bapa yang menginginkan pulangan pelaburan jangka masa panjang,
terdapat beberapa pilihan unit amanah yang boleh didaftarkan seperti akaun
remaja Amanah Saham Bumiputera (ASB), ASB 3-Didik, Amanah Saham Malaysia (ASM)
dan ASM 2-Wawasan yang diuruskan oleh Permodalan Nasional Berhad. Pelaburan
dalam sebarang bentuk amanah saham perlulah dikaji secara teliti dan bergantung
kepada prospek yang ditawarkan oleh pengurus Amanah. Bagi pelaburan anak-anak, ibu
bapa digalakkan mencari amanah saham yang mudah dicairkan, pulangan yang lebih
baik daripada simpanan biasa dan berisiko rendah.
![]() |
Selain itu, simpanan dalam bentuk akaun emas atau syiling emas dengan
syarikat yang sah juga merupakan pilihan simpanan yang semakin diceburi ramai.
Ia memberikan pulangan jangka panjang berdasarkan harga jualan yang makin
tinggi pada masa akan datang serta mengurangkan risiko pengeluaran wang yang
kerap. Pakar pelaburan turut menyarankan agar emas menjadi alternatif baru
sebagai simpanan kerana ia sentiasa bernilai dan kalis inflasi.
Dengan melaburkan duit raya anak-anak setiap tahun, ibu bapa boleh
menikmati pulangan yang konsisten dan berterusan dalam tempoh masa panjang
sesuai dengan perkembangan usia anak-anak mereka. Pelaburan ini biarpun hanya
bermula dengan nilai yang kecil, tetapi dengan penambahan yang berterusan, ia
amat membantu anak-anak apabila mereka dewasa kelak tanpa perlu dibelenggu
masalah kewangan yang serius.
Setelah ibu bapa menetapkan matlamat simpanan, duit raya perlulah
diasing-asingkan mengikut keperluan perbelanjaan dan simpanan anak-anak. Pastikan
nilai yang hendak disimpan itu lebih besar berbanding mengikut kehendak
perbelanjaan anak. Ibu bapa perlu menerangkan kepentingan menyimpan dan
menjadikan budaya menyimpan lebihan duit belanja sekolah sebagai amalan harian
mereka.
![]() |
Ibu bapa juga boleh bersama-sama dengan anak-anak mengira duit simpanan
dan menerapkan ilmu mengenai perancangan perbelanjaan yang berhemah. Ketika bersama
anak-anak, ibu bapa boleh bertanya apakah barangan impian yang mereka ingin
beli? Adalah sangat penting untuk ibu bapa menasihati dan mendorong anak-anak
untuk mengenali kehendak dan keperluan dalam perbelanjaan sejak mereka kecil
lagi. Elakkan daripada menghalang minat dan impian mereka, tetapi ibu bapa
perlu bijak menasihati dan membantu mereka berfikir secara lebih realistik.
Semasa mendepositkan duit ke akaun, bawa anak-anak bersama. Tunjukkan
kepada mereka situasi di bank atau institusi kewangan agar mereka didedahkan
kepada dunia kewangan yang lebih sihat. Biarkan anak-anak tahu dimana duit mereka
disimpan dan dilaburkan untuk masa hadapan mereka. Apabila mereka mulai sedar
akan kepentingan simpanan untuk masa hadapan, mereka akan suka menyimpan dan
tidak sabar untuk mendepositkan duit ke akaun.
![]() |
Sebagai ibu bapa, peranan dan tanggungjawab kita adalah sangat besar
untuk menyediakan perancangan kewangan anak-anak sejak daripada kecil lagi.
Sumber kewangan seperti duit raya adalah titik mula kepada budaya menyimpan
yang sangat baik untuk diterapkan kepada anak-anak. Oleh itu, ibu bapa perlu
bijak dalam merancang dan menguruskan kewangan anak-anak demi masa depan
mereka. Latih dan didik anak-anak dari kecil lagi, bak kata pepatah, melentur
buluh biarlah dari rebungnya.
Penulis:
Ts. Dr. Mohd Talmizie Amron
Pensyarah Kanan Sains Komputer, Universiti Teknologi MARA Cawangan Terengganu
Suhaily Maizan Abdul Manaf
Pensyarah Kanan Kewangan, Universiti Teknologi MARA Cawangan Terengganu
0 Comments