Pada suatu
malam yang hening, aku tidak keluar seperti malam-malam yang sebelumnya. Aku
hanya duduk beristirehat di rumah Ben. Aku pun berlalu masuk ke dalam bilik
tidur aku usai menonton televisyen. Aku pun segera melabuhkan badan aku yang
sudah terasa tidak bermaya. Tiba-tiba, Ben meluru masuk ke dalam. Aku
sememangnya tidak mengunci pintu bilik aku. Gelagat Ben kelihatan pelik sekali.
Tidak kelihatan seperti selalu. Apakah yang tidak kena dengan Ben, aku tertanya-tanya.
Suatu kejadian
yang tidak pernah di gambarkan aku berlaku pada malam tersebut. Ben meluru
menghampiri aku. Tanpa berkata apa-apa, dia terus merampas kehormatan aku
sebagai seorang wanita yang masih suci. Segala kehormatan yang selama ini aku pertahankan
telah dirampas oleh Ben setelah menikmati semuanya malam itu. Sungguh tidak aku
menyangka semua itu akan berlaku ke atas aku. Tiada apa yang mampu dilakukan
oleh aku ketika itu. Aku hanya mampu mengalirkan air mata penyesalan. Aku
begitu kesal atas perbuatan aku yang tidak mendengar kata teguran serta nasihat
yang diajukan kepada aku.
Tragedi itu
telah menjadi titik permulaan kesengsaraan hidup aku. Ben mempamerkan belangnya
yang sebenar. Aku dilayan seperti binatang peliharaan. Bagaikan seorang hamba
yang hina. Ben memaksa aku melakukan kerja-kerja kotor seperti mengedar dadah
dan memeras ugut. Kadang-kala aku dijadikan hamba seksual sama ada untuk
kepuasan nafsunya sendiri atau kepuasan nafsu orang lain. Aku hanya mampu
menuruti segalanya, tiada apa yang dapat aku lakukan.
![]() |
Sumber - Berita Harian |
Beberapa tahun
penyeksaan batin mahupun zahir telah aku lalui. Aku sudah tidak bermaya lagi
untuk melawan, aku hanya mampu menuruti segala perintah Ben, si durjana itu.
Umpama sampan hanyut di samudera yang luas terbentang tanpa pendayung hanya
mengikut arus lautan. Jikalau kuat arus itu, maka lajulah perahu itu dibawa
arus. Jikalau tidak, maka sudah pasti perahu itu perlahan pergerakannya.
Begitulah yang mampu aku zahirkan sebagai perumpamaan aku dan semangat aku
serta ketabahan diri aku mengharungi pelayaran hidup yang geloranya besar
sekali bagi aku.
Terfikir oleh
aku akan perancangan untuk melepaskan diri dari terus dibelenggu si durjana,
Ben. Pada pagi itu, Ben keluar pergi menemui pelanggannya di ibu kota separti
biasa. Aku pula dikunci di dalam bilik keseorangan. Aku cuba sedaya
upaya,membanting kesemua keringat yang masih berbaki untuk merobek tombol pintu
bilik yang menempatkan aku. Pintu tersebut terbuka selepas beberapa percubaan
yang mengambil masa kira-kira lima belas minit. Selepas berjaya, aku segera
memboloskan diri dari rumah itu dengan membawa beg pakaian aku. Aku menaiki
teksi ke bandar yang berdekatan. Bandar itu bukanlah tempat Ben selalu pergi.
Aku berjalan ke sana ke sini. Tiada arah tujuan seperti layang-layang yang
terputus talinya, umpama kapal tanpa nakhodanya.
Ditakdirkan
Tuhan, aku terserempak dengan sahabat yang suatu ketika dahulu sangat akrab dengan
aku, Fatin. Aku berasa malu untuk menegurnya. Dia pula mengecam akan diri aku
lalu menyapa aku.
“Hai,
assalamualaikum. Adakah awak Sarah??”, sapa Fatin, sopan.
“Waalaikumussalam.
Ya, saya. Kau masih kenal aku ke?”, soal aku.
“ Mestilah aku
kenal. Kau kan kawan baik aku, takkan lah aku lupa. Kau nak ke mana dengan bawa
beg sekali ni?”
Aku hanya
tunduk terdiam, lidah aku kelu tak terkata.
“Tak manis
kita borak dekat sini. Jemputlah ke rumah aku. Jom. Boleh kita borak lama
sikit.”, pelawa Fatin.
![]() |
Sumber - bioguia.com |
Di rumah
Fatin, aku dan Fatin berbual panjang. Pelbagai pertanyaan yang di lontarkan
kepada aku. Akhirnya, aku menceritakan segalanya. Fatin begitu faham akan
keadaan yang aku alami. Dia berjanji akan membantu aku sedaya upayanya.
Bermula hari
itu, aku tinggal bersama-sama Fatin. Dia mengajar aku untuk mengamalkan semula
budaya amalan yang sering aku lakukan dahulu. Sebagai permulaannya, aku diajar
mendekatkan diri kepada tuhan. Aku belajar semula membaca Al-Quran yang telah
bertahun-tahun lamanya aku tinggalkan. Fatin pernah berkata, pekara yang lampau
biarlah berlalu. Perbuatan kotor lagi keji yang dilakukan boleh diampun
sekiranya kita bertaubat sesungguh-sungguhnya.
Fatin begitu
pintar dalam menghadapi seseorang yang mengalami kerutuhan akhlak. Dia
menggunakan bahasa yang sangat lembut dan halus sebagai medium untuk menambat
hati seseorang itu. Melihatkan keperibadian Fatin yang begitu bergelora akan
sifat sopan, kasih sayang dan lemah lembutnya itu telah mendorong semangat
dalaman diri aku untuk terus melakuakan perubahan diri ini. Berubah menjadi
seorang yang baik dan berguna, tidak seperti dahulu.
Aku masih lagi
merangkak dalam menjadikan semua yang diajarkan menjadi sebahagian daripada
diri aku. Setiap hari aku akan diasuh oleh nasihat yang berguna dan sangat
membina. Jiwa aku kembali hidup dengan usaha yang dilakukan oleh Fatin. Fatin
juga mendedahkan tentang sosial budaya masyarakat kini. Pelbagai lapisan
masyarakat dengan pelbagai sosial budaya yang diamalkan. Ada golongan yang suka
berfoya-foya, menikmati keindahan dunia. Tidak pula menghiraukan
perkara-perkara lain, hanya hidup dalam dunia yang diciptakan khas buat dirinya
sendiri.
Terdapat juga
golongan masyarakat yang kelihatan amat baik. Mempunyai kepeperibadian yang
luhur, akan tetapi terjebak dengan pergaulan yang tidak dibataskan. Perkara ini
juga jelas kelihatan apabila si perempuan berjalan berpegangan tangan dengan si
lelaki, ke sana ke mari. Berpakaian tidak senonoh serta menjolok mata.
Sedikitpun tidak menghiraukan pandangan masyarakat terhadap mereka. Oleh itu,
kebanyakan golongan yang mengamalkan sosial budaya sedemikian dipandang hina
oleh masyarakat.
![]() |
Sumber - azhan.co |
Aku terasa
begitu menyesal di atas perbuatan aku yang lampau. Masalah sosial budaya yang
Fatin dedahkan terasa amat dekat dengan kehidupan aku. Selain itu, Fatin juga
mendedahkan terdapat juga golongan yang
sebahagiannnya kelihatan tidak baik, tetapi luhur hati budinya amatlah baik.
Sebahgaian lainya pula mempunyai hati yang suci dan juga kelihatan seperti
orang yang baik-baik. Golongan ini selalunya amat perihatin terhadap keadaan
masyarakat di sekelilingnya. Mereka juga selalunya telah dididik dan dibentuk
budi pekertinya sejak kecil lagi, bak kata pepatah, melentur buluh biar dari
rebungnya. Itulah yang sepatutnya dilakukan oleh setiap keluarga ke atas
anak-anak mereka. Banyak yang aku pelajari daripada pendedahan tentang sosial
budaya masyarakat kini. Semua itu aku jadikan sebagai teladan dan menjadikan
yang buruk sebagai sempadan agar aku tidak terjerumus kembali ke dalam
kehidupan yang penuh kehinaan itu.
Suatu ketika,
aku menghadiri satu ujian kesihatan di sebuah klinik swasta. Aku disahkan
menghidap satu penyakit merbahaya. Penyakit itu adalah berpunca daripada
pergaulan bebas aku dahulu. Namun begitu, aku menjadikannya sebagi satu rahsia.
Hal itu tidak pula aku nyatakan kepada Fatin walau dia kawan baik aku yang
telah banyak membantu diri ini. Aku menganggapnya sebagai satu ujian daripada
Tuhan. Ujian itu aku labelkan sebagi balasan untuk aku di atas segala perbuatan
aku selama ini.
Hari berlalu
minggu, minggu berlalu bulan, kini, sudah hampir masuk tiga tahun aku tinggal
bersama Fatin. Aku sudah pulih sepenuhnya. Segala yang diajarkan mampu aku
jadikan sebagai budaya serta amalan hidup aku. Mampu jua aku amalkan apa yang
termampu. Aku juga sering dibawa Fatin untuk melakuakan aktiviti berdakwah di
sekitar kawasan itu. Aktiviti tersebut mampu memgukuhkan lagi tahap kesabaran
diri aku. Kesabaran dalam berdepan golongan remaja yang sudah runtuh akhlaknya
di bawa arus masa. Hal itu dapat mendidik aku dari berbagai-bagai aspek
seperti, ketabahan, penggunaan bahasa yang lembut dan sopan serta kebijaksanaan.
Pelbagai saat
suka duka aku lalui bersama Fatin. Terlalu banyak kenangan aku bersamanya.
Kini, Fatin terpaksa pergi kerana ingin membina mahligai keluarganya sendiri.
Sungguh bertuah pendamping dapat mendampingi seorang wanita sedemikian Fatin.
Fatin menetap di rumah suaminya jauh di selatan setelah segala urusan
perkahwinan selesai. Dia juga telah memberikan aku rumahnya untuk aku jadikan
sebagai tempat berteduh. Aku sungguh terharu akan pengorbanan yang masih
dilakukan Fatin walau sudah mempunyai tanggungjawab terhadap suami. Aku teramat
berterima kasih. Akan tetapi, aku tidak terus tinggal di rumah itu. Aku telah
berpindah ke rumah baru aku yang disewa, jauh dari situ tanpa pengetahuan
Fatin. Aku tidak sanggup terus menerus bergantung pada bahu orang lain untuk
meneruskan hidup. Aku tidak mahu dipandang seperti orang yang tidak berguna.
Bertahun-tahun
sudah berlalu. Terasa amat cepat sekali masa berlalu. Selama itu, aku hanya
menanggung siksa akibat daripada penyakit yang aku alami. Aku telah dimasukkan
ke hospital kerana penyakit tersebut telah menular dengan teruk sekali.
Penyakit ini amat ditakuti oleh para wanita namun, tidak banyak yang
menghiraukan tetang penyakit tersebut. Aku telah menghadapi penyakit kanser
payudara. Siksanya amat tak tertahan. Lebih malang lagi, doktor
mengesahkan bahawa aku juga dijangkiti
HIV. Berita tiu menambahkan lagi kepasrahan aku kepada Illahi. Tiada apa yang
mampu dilakukan, hanya berdoa kepada-Nya.
Sehinggalah
sekarang, aku masih lagi menanggung siksa penyakit yang aku alami. Aku langsung
tidak mengkhabarkan berita ini kepada Fatin. Entah dia tahu atau pun tidak.
Mungkin dia sibuk melayani kerenah suaminya, senantiasa di sisi. Aku pun tidak
kisah akan hal itu. Doktor menyarankan aku menjalani pembedahan membuang sel
kanser itu, namun tidak aku hiraukan. Aku tetap berkeras tidak mahu menjalani
pembedahan itu. Aku ingin penyakit itu menjadi titik tolak pengakhiran kepada
hidup aku.
![]() |
Sumber - prettilyrare.com |
Yang aku inginkan
hanyalah menemui kedua-dua ayah dan ibu aku. Sesungguhnya aku ingin benar
melutut memohon keampunan daripada mereka berdua. Diri aku begitu berhajat
ingin mengucup tangan kedua-dua pipi dan tangan mereka. Semua itu hanyalah
umpama mengapai bintang di langit, takkan tercapai oleh tangan, hanya menjadi
impian dan mimpi aku yang terakhir. Bagai menunggu kucing bertanduk. Aku pasrah
kepada Tuhan, bertawakal sahaja yang aku mampu. Aku memejamkan mata,
berlinangan air mata kerinduan aku, mengalir perlahan.
> SEKIAN <

0 Comments